Matlamat kursus ini adalah untuk mendedahkan para pelajar kepada undang-undangan, peraturan-peraturan, dasar-dasar dan kod etika yang mendasari kebebasan berkomunikasi (bermaklumat dan kewartawanan) di Malaysia. Metod penyampaian merangkumi perbincangan dapatan penyelidikan dan analisis isu-isu semasa yang berkaitan. Skop kursus adalah bersifat sejagat meskipun banyak tertumpu kepada konteks negara Malaysia disebabkan dalam era globalisasi hari ini masyarakat kita hidup dalam dunia tanpa sempadan – maklumat di hujung jari dan boleh menjadi viral dalam masa singkat.

Kefahaman aspek-aspek perundangan serta kod etika dalam komunikasi ini amat penting untuk semua pengamal dan professional komunikasi. Bukan sahaja berperanan sebagai pengetahuan do and don’t – tetapi bertujuan memahami mengapa sesuatu kes tersebut sedemikian rupa dan apakah sebab-akibatnya.

Undang-undang komunikasi yang disentuh merangkumi undang-undang komunikasi media massa dan undang-undang siber – merangkumi hak dan salahlaku. Begitupun, para pelajar terlebih dahulu akan didedahkan kepada asal-usul dan asas perundangan di Malaysia.

Para pelajar akan didedahkan kepada bahan ilmiah, akta, kajian kes dan isu-isu berkaitan kebebasan dan kawalan dalam bidang komunikasi yang relevan dengan konteks Malaysia. Ini penting terutamanya dalam mewujudkan literasi media digital dalam kalangan pelajar. Bukan itu sahaja, pelajar dikehendaki membuat analisis atau kajian kes perbandingan untuk isu-isu semasa termasuklah misalannya bagaimana teknologi komunikasi smartphone merubah kebebasan akhbar di Malaysia.